Sejarah Sultan Muhammad al-Fateh
PENGENALAN
Sultan
Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh
(Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam
kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama
seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan
Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat
Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople
akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja,
dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”
Hadis
ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam
untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan
keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira
yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi
itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai
kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok
Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini
sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah
keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk
sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.
Tuhan
menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan
Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu
Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad
al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan
datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih
lanjut di bawah nanti.
Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana.
Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka
Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik
raja dan tentera” itu.
ZAMAN KECIL
Sultan
Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan
Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh,
handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia
memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi
seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.
Muhammad
belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik,
seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan
lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki,
Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Kekhalifahan
Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan
bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak
istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para
khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak
membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid
besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang
berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada
Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika
Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada
Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople
tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.
ZAMAN REMAJA
Muhammad
al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada
tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu
Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya
dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19
tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan
Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.
ZAMAN DEWASA
Sultan
Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan
sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman
itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera
Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan
bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.
Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan
ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka
itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan
kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya
kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu
mengenakan serban.
Walaupun
Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih
memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu,
sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal
ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan
juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat.
Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat
jawatan khalifah:
“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”
Begitulah
lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah
lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.
MEMBUKA KONSTANTINOPLE
Sebelum
melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad
membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan
sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.
Antara
langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah
mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu.
Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600
kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi
ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15
tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat
Islam menguasai teknologi.
Tentera
Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang.
Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera
musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan
bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera
musuh sudah menjunam jatuh.
Selain
tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota
Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak
dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai
besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan
tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.
Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota
itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih
utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada
Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam
akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan
kosong.
Satu
keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan
tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik
kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu
idea yang sungguh luar biasa.
Esoknya,
tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang
tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan
serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak
terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk?
Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Sudah
berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad
tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad
dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari
ikut saya!”
Ucapan
ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan
bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu
musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu.
Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka
bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya
Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan
30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!
Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota
ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar
nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam
Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul”
oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa
Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi
masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai
sekadar sebuah muzium.
Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.
JUMAAT BERSEJARAH
Selepas
berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera
Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”
Tidak
ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya
mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah
satu ciri sebaik-baik tentera.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”
Sebahagian daripada tenteranya duduk.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”
Semua
tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan
pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat
rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya
peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?
AKHIR HAYAT
Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.
Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.
KISAH POTRET SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
Potret ini memang masyhur. Siapakah pelukisnya?
Pelukisnya
ialah seorang Itali bernama Genti le Bellini. Dia dihantar oleh Senat
Venice ke Istanbul pada tahun 1479 untuk bertemu dengan Sultan Muhammad
al-Fateh atas urusan hubungan diplomatik. Dialah yang melukis potret
baginda.
PEMBUKA KONSTANTINOPLE SETERUSNYA
Hadis
Nabi bercerita tentang kedatangan Yakjuj Makjuj. Kedatangan tentera
Khazar, Monggol dan Rusia juga ternyata gerombolan Yakjuj Makjuj. Namun
Yakjuj Makjuj yang utama akan muncul selepas kedatangan Imam Mahdi dan
Nabi Isa al-Masih nanti.
Begitu
juga dalam kes Pembuka Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fateh dan
tenteranya memang benar sebaik-baik raja dan tentera pada zaman mereka
yang berjaya membuka Konstantinople, namun Pembuka Konstantinople yang
utama akan tiba tidak lama lagi. Mereka juga sebaik-baik raja dan
tentera, untuk penghujung akhir zaman ini.
Kita
lihat apa yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitamy dalam
kitabnya Al-Qaul al-Mukhtasor fi ‘Allamah al-Mahdiy al-Muntazor:
“Al-Mahdi
akan memerangi Rom selama 3 hari. Pada hari ketiga itulah Rom runtuh.
Kemudian menyerang Konstantinople. Ketika mereka membahagi-bahagikan
emas di Konstantinople dengan memakai takaran perisi, tiba-tiba ada
orang yang berteriak: “Sesungguhnya Dajjal telah menundukkan
keluarga-keluarga kamu semua.”
“Al-Mahdi akan menundukkan Konstantinople dan Jabal ad-Dailam.” (Abu Nuaim)
Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya
mereka menundukkan Konstantinople dan Rom dengan membunuh 40,000
jiwa……. Ketika mereka membahagi-bahagikan harta rampasan perang,
tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita kedatangan Dajjal…”
Sabda Nabi:
“Peperangan yang terbesar ialah tertakluknya Konstantinople. Dan keluarnya Dajjal ialah selama 7 bulan.”
Hadis riwayat al-Hakim:
“Sesungguhnya
pasukan yang menundukkan Konstantinople ialah pasukan Hijaz…….
Kemudian mereka dikejutkan dengan orang meneriakkan tentang kedatangan
Dajjal.”
“Tertakluknya Konstantinople ialah keluarnya Dajjal.”
“Ketika menundukkan Konstantinople, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk mengambil wudhuk dan mengerjakan solat Subuh.”
Cuba
perhatikan, penaklukan Konstantinople dikaitkan dengan al-Mahdi dan
pra-kezahiran Dajjal. Maksudnya pembukaan utama Konstantinople belum
berlaku. Ia akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera iaitu Imam
Mahdi dan pasukannya.
Anda
mahu jadi salah seorang ahli pasukannya yang sebaik-baik tentera itu?
Bandingkan amalan anda dengan amalan para perajurit Pembuka
Konstantinople yang pertama iaitu tentera Sultan Muhammad al-Fateh.
Tentunya kualiti tentera yang membuka akan membuka Konstantinople kali
ini adalah lebih hebat daripada yang pertama. Layakkah anda?
Satu
hal yang menarik, orang yang mengatakan Konstantinople akan jatuh ke
tangan tentera Islam ialah Nabi Muhammad saw, Pembuka Konstantinople
yang pertama ialah Sultan Muhammad manakala Pembuka Konstantinople yang
utama ialah Muhammad bin Abdullah iaitu al-Mahdi. Ketiga-tiganya
Muhammad.
Comments
Post a Comment